Modal Buka Kedai RM2 | Alhamdulillah masih diberi kesempatan untuk berkongsi serba sedikit pengetahuan berdasarkan pengalaman yang tidak seberapa. Saya gemar berkongsi bidang perniagaan terutamanya berkenaan bidang peruncitan termasuk kedai rm2 atau kedai serbaneka.
Maklumlah 4 syarikat saya kerja sebelum ini semuanya bidang peruncitan dan 2 darinya melibatkan kategori kedai serbaneka rm2. Jika diberi pilihan perniagaan samada kedai runcit atau kedai serbaneka rm2, saya sendiri dalam dilema. Jika modal tebal mungkin akan pilih kedai runcit @mini market tetapi jika modal tak begitu tebal lebih baik pilih kedai serbaneka rm2.

Modal Buka Kedai RM2
Harga barang 5 tahun lepas jauh berbeza dengan sekarang 2023 termasuklah harga besi rak gondola dan peralatan perniagaan lain. Harga barang juga sudah tentu berubah, selain kos bahan yang semakin meningkat, ringgit juga semakin jatuh jika dibandingkan 5 tahun lalu.
Tetapi jika dilihat pada harga barang di kedai serbaneka rm2 sebenarnya tidaklah naik secara mendadak, terkini 2023 harga jualan barang kedai serbaneka rm2 sekitar rm2.10-rm2.50 lebih kurang. Sudah tentu mereka masih meraih keuntungan dan kuasa belian tetap tinggi.
Kalau tanya saya, modal buka kedai rm2 paling minimun perlu ada RM50000. Modal ini untuk kedai 1 pintu dan jumlah barang tidak padat tetapi cukup untuk permulaan. Jika untuk buka kedai runcit dengan 50k memang saya kurang yakin walaupun boleh juga untuk permulaan. Ini kerana barang kedai runcit perlu lebih lengkap dan kos lebih besar, sebagai contoh nescafe perlu ada semua saiz dan harga agak tinggi. Takkanlah kita taknak jual nescafe, milo, dan beberapa produk berjenama lain yang wajib ada di kedai runcit.
Berbeza dengan kedai serbaneka rm2, kita tak perlu jual nescafe, milo, susu bayi, pampers berjenama dan lain-lain barang yang wajib ada di kedai runcit. Kerana kedai rm2 mustahil untuk kita jual nescafe dengan harga rm2.40 satu pek. Pelanggan takkan marah jika kedai rm2 tak jual produk nestle seperti milo, nescafe, susu bayi kerana harga kita terhad untuk barang-barang tertentu sahaja.
Selain itu dari segi kualiti barang juga pelanggan tidak boleh persoalkan sangat kerana harga barang terlalu murah dan kebanyakan pelanggan pun sudah agak sesetengah barang yang memang kurang berkualiti dan mereka jarang akan komplen walaupun guna beberapa kali dah rosak untuk sesetengah barang. Ada juga produk yang berkualiti tetapi dijual pada harga murah dan sebelum adanya kedai rm2, kebanyakan pelanggan memang tidak pernah tahu harga modal sesuatu barang hinggakan dijual pada harga jauh lebih tinggi di kedai-kedai biasa.
Sebagai contoh lighter(mancis), sebelum ini rasanya paling murah dijual pada harga 70sen sebiji harga dulu dan sekarang paling murah pun seringgit. Sedangkan di kedai rm2 lighter dijual pada harga 2.40 tetapi satu paket dan dalamnya ada 4-5 biji, kualitinya juga boleh tahan.
Baca Juga: Buka Kedai Serbaneka Macam Eco Shop
Supplier Kedai RM2
Supplier atau pembekal barangan serbaneka rm2 sangat banyak terutama disekitar penang, kedah dan juga KL. Contoh produk barang plastik applelady, memang ada yang mahal tetapi ada juga yang boleh dijual di kedai-kedai rm2. Produk elianware, kualiti memang bagus dan kebanyakan lebih mahal dari applelady, lava, yokoko tetapi tetap ada item yang boleh dijual di kedai rm2.
Begitu juga produk lain seperti sabun pencuci pinggan, syampoo, sabun mandi, ubat gigi dan lain-lain syarikat pengeluar mereka sengaja mengeluarkan produk yang bersaiz lebih kecil atau pada kuantiti yang lebih sedikit supaya mampu dijual pada harga sekitar rm2.
Saya bersama team pernah setup beberapa buah kedai rm2 bermula dari kedai kosong, cari staff, masuk gondola, masuk barang hinggalah pembukaan(Opening). Paling tinggi jualan hari pertama, kedua sekitar 20k sehari memandangkan ada freegift, voucher dan hadiah untuk beberapa hari pertama grand opening kedai rm2.
Produk Laris Kedai RM2
Saya tidaklah begitu arif tetapi saya berkongsi berdasarkan pengalaman kerja makan gaji dibawah syarikat yang melibatkan peruncitan dan barang serbaneka rm2. Mungkin ramai yang ingat produk paling laris di kedai rm2 seperti barang hardware, kitchen kerana harga yang jauh lebih murah dari kedai-kedai biasa.
Berdasarkan pengalaman saya, barang makanan terletak dicarta jualan paling tinggi dan diikuti dengan barang mainan dan barulah barang-barang lain.
Ok untuk permulaan, boleh bajet barang makanan sekitar 5ribu, mainan 5 ribu, hardware, kitchen, alatulis, aksesori wanita bajet, dan sabun 10-12ribu, barang plastik cuba borong dengan pemborong bajet sekitar rm4-5ribu pelbagai jenama. Seterusnya barang-barang kaunter yang wajib ada seperti bateri, cable telefon, ketip kuku, lighter dan lain-lain sekitar 3 ribu.
Kata 50k, mana lagi pergi bakinya?? Ok baki lagi untuk kos gondola yang mungkin lebih dari 10k, kaunter termasuk pos system, lesen majlis, signboard kedai dan lain-lain. Itu pun tak pasti cukup tak dengan modal 50k, tak kira kos sewa kedai lagi, deposit dan wiring atau kena ubahsuai mana patut. Kedai ni kena banyak lampu baru nampak cerah dan meriah.
Biasanya permulaan ambil barang dengan supplier memang kena bayar dulu baru sampai barang, tapi bila dan beberapa kali ambil biasanya akan dapat credit maksudnya boleh hutang dulu. Tempoh masa yang diberi oleh supplier untuk bayar balik biasanya dalam sebulan.
Jangan lupa selipar jepun, kalau boleh dapat selipar biji tu lagi bagus tetapi kos agak tinggi juga untuk model tebal atau sekarang dah tak boleh di kedai rm2 pun saya tak pasti. Untuk selipar biar untung sedikit asal barang sentiasa ada dan tidak putus. Selain itu penyapu, pastikan stok sentiasa cukup kerana permintaannya agak tinggi dan untung juga agak tinggi.
Penyapu dijual pada harga 2x harga kedai rm2 contohnya jika satu barang rm2.40 bermakna penyapu dijual rm4.80 siap sekali batang. Yang jadi untung besar adalah kerana batangnya, batang penyapu modal kalo tak silap sekitar rm1, tetapi 5 tahun lepas harga modalnya kalo tak silap 90sen sebatang. Untuk berus penyapu tu mungkin sudah ada untung sekitar 30-50sen dan batangnya sekitar rm1.20 atau lebih.
Maaf jika ada lagi barang yang saya tidak senaraikan atau lupa untuk senaraikan.
JANGAN TERKEJUT jika ada barang yang hanya untung 5sen atau 10sen, untuk kedai rm2 asal barang ada dan mampu dijual di kedai rm2 itu sudah cukup bagus. Kerana barang china banyak juga yang untung sekali ganda atau lebih. Kalau untung sekitar 20sen, 30sen kira ok la kerana barang yang kita jual hanya sekitar rm2.40 sahaja. Tambah pula kedai rm2 orang datang beli dalam kuantiti yang banyak dan mereka tidak perlu nak banding-bandingkan harga dengan kedai lain tak seperti kedai runcit dan pasaraya.
Akhir sekali, paling penting saya nak bagitahu bahawasanya saya bukan dari mana-mana company franchise kedai rm2 dan tidak juga menyediakan perkhidmatan setup kedai rm2. Penulisan ini hanyalah untuk perkongsian berdasarkan pengalaman dan diharap boleh memberi sedikit info kepada sahabat yang berniat untuk buka kedai rm2.
Jika ada juga yang serius nak buka kedai rm2 dan nak juga bertanya bolehlah wasap saya di 01169206774, jika saya free atau saya sedang rajin Insyaallah saya reply dan jawab pertanyaan atau berkongsi apa yang saya tahu berdasarkan pengalaman yang tak seberapa ini. Terima kasih.
Kredit foto: eco, fbeco