Bisnes Jual Beli Kereta Second Hand

Bisnes Jual Beli Kereta Second Hand | Sejak menetap di kampung setelah berhenti kerja di bandar, bermacam jenis perniagaan saya usahakan. Mencari pengalaman baru dalam dunia bisnes bukan semudah yang disangka. Perniagaan memerlukan ilmu, risiko kerugian amat tinggi untuk mereka yang baru bermula.

Berniaga itu sunnah Rasulullah, namun untuk melaksanakan sunnah tersebut memerlukan ilmu dan tahap kesabaran yang tinggi. Modal bukanlah perkara utama dalam perniagaan, kerana ada perniagaan yang boleh dimulakan tanpa sebarang modal, contohnya dropship.

Berakhir dengan perniagaan santan segar, kini mula buat bisnes produk kesihatan secara online, bantu abang buka kedai repair komputer, dan terbaru bisnes jual beli kereta second hand yang juga bisnes adik beradik.

Booking Temujanji Untuk Pemeriksaan Puspakom

Jual beli kereta nampak macam rumit kerana melibatkan beberapa urusan seperti pemeriksaan puspakom dan jpj. Untuk urusan puspakom perlu membuat temujanji terlebih dahulu, dan ada sesetengah tempat perlu menunggu sampai seminggu atau lebih.

Tetapi ada juga hanya mengambil masa sehari dua sahaja bagi sesetengah tempat. Tarikh dan jam[masa] akan ditentukan secara dalam sistem semasa membuat temujanji puspakom secara online. Ini bertujuan untuk melancarkan lagi urusan pemeriksaan kenderaan.

Untuk proses tukar nama kereta, pemohon perlu mengisi borang B5 secara online di laman web PUSPAKOM. Pemeriksaan dibuat untuk memastikan kenderaan tersebut memenuhi syarat yang ditetapkan dan boleh dipindah milik.

Urusan Tukar Nama Kenderaan Di Kaunter JPJ

Untuk proses tukar nama kereta di JPJ, pemilik asal[penama pada geran] hendaklah terlebih dahulu ke mana-mana kaunter jpj untuk membuat thumbprint pengesahan pemilik kenderaan.

Tiada dokumen dan bayaran diperlukan untuk urusan ini, pemilik cuma perlu membawa kad pengenalan diri dan detail pemilik baru seperti nama, nombor ic, dan no plate kereta. Detail ini untuk diisi dalam borang yang yang diberikan oleh petugas kaunter pertanyaan di JPJ.

Seterusnya, pemilik baru boleh lah ke mana-mana cawangan JPJ untuk membuat tukar nama kenderaan. Borang yang perlu diisi sama seperti borang yang diisi pemilik asal. Pemilik baru perlu membawa dokumen seperti surat puspakom, surat thumbprint pemilik asal, geran dan kad pengenalan. Surat puspakom dan surat thumbprint pemilik asal sekadar didalam telefon rasanya sudah memadai, kerana semua itu sudah berada dalam sistem jpj.

Selesai urusan tersebut, pemilik baru dapat geran baru atas nama sendiri dan boleh terus buat roadtax dan insuran. Selesai sudah urusan jual beli kereta, tidak rumit sebenarnya jika tahu prosedurnya.

Keuntungan Bisnes Jual Beli Kereta Second Hand

Keuntungan bergantung pada jenis kereta, jika mahal makan untungnya mungkin lebih tinggi. Oleh kerana saya bermula dengan kereta biasa-biasa seperti, viva, kancil, waja, yang mana harganya dibawah 10k, untungnya juga biasa-biasa. Sekitar RM500-RM1500 keuntungan yang boleh diambil untuk sebuah kereta yang dijual, jika bernasib baik boleh dapat lagi tinggi.

Bagi saya agak berbaloi juga jika dapat menjual 4-5 buah kereta dalam sebulan. Sebagai permulaan, sekurang-kurangnya boleh jual 2 buah pun dah kira bagus. Kerja tak susah, rasanya tidak memerlukan tenaga yang banyak, cuma perlukan sedikit modal sahaja.

Leave a Comment